Mengenai MySTEM@SPACE
Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia (MSNKM) 2022
Minggu Sains Negara merupakan salah satu daripada inisiatif MOSTI di dalam usaha memupuk minat terhadap ilmu sains. Sambutan ini akan mengetengahkan pelbagai hasil usaha kerajaan dalam usaha menggalakkan pembangunan dan kemajuan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara. Minggu Sains Negara diharap dapat menjadi plaform untuk menyemarak dan membudayakan STI di pelbagai peringkat dan seterusnya memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya STI dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Pendahuluan Program
Agensi Angkasa Negara, MySA yang komited di dalam fungsinya membangunkan kemampuan bangsa secara menyeluruh dan selaras di dalam bidang teknologi, aplikasi dan sains angkasa melancarkan program rintis MySTEM@SPACE.
MySTEM@SPACE menyediakan suatu platform terbuka untuk semua lapisan masyarakat belajar, meneroka, bertukar-tukar pengetahuan dan idea tentang STEM & Robotik di dalam aplikasi kehidupan yang sebenar.
Program MySTEM@SPACE di bawah Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 diperakui oleh Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Objektif Program
Mengangkat MYSA sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran teknologi tinggi, terutamanya teknologi angkasa.
Memperjelas konsep pembelajaran STEM Robotik angkasa yang mampu menarik minat pelajar di dalam subjek teras pendidikan KPM seperti Sains, Matematik, RBT dan KHB.
Melatih pelajar dengan ilmu robotik dan coding bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi kerjaya IR4.0.
Mencungkil bakat pelajar di dalam bidang robotik dan inovasi untuk dibawa ke pertandingan peringkat negeri atau kebangsaan.
Penubuhan kelab khas MySTEM@SPACE di 3 sekolah terpilih (dari kategori Modul 1 sahaja) DAN memastikan kelestarian aktiviti kelab tersebut.
Bengkel dan Pertandingan
Modul 1: MyMARS Roverbot
Berlajar konfigurasi dan pengaturcaraan robot pencari laluan untuk melalui checkpoint yang ditetapkan di atas trek pertandingan

Modul 2: MyMARS Solar Station
Pengenalan kepada komponen sistem tenaga solar dan fungsinya. Bina, bangunkan dan persembahkan prototaip berfungsi sistem tenaga solar anda

Modul 3: MySpace Station
Pengenalan kepada stesen angkasa, fungsi dan aplikasi. Bina, bangunkan dan persembahkan model statik stesen angkasa anda.
